Salam Mujahadah.
Isu ini bukan lagi isu yang dipandang hangat walaupun hakikatnya kita tidak boleh memandangnya dengan hati yang tenat. Suatu ketika, isu ini akan dibangkitkan, namun satu ketika yang lain akan ber’kubur’ semula. Hanya segelintir sahaja yang masih peduli dengan isu ini yang ter’bengkalai’ selama lebih 60 tahun.
Inilah isu Palestin. Bumi berdarah yang menjanjikan syuhada’.
Ku masih lagi terlihat manusia’ teragak-agak’ untuk menjalankan tanggungjawab mereka. Boikot bukan lagi satu agenda yang diteruskan. Malah ada yang menganggap ” bukan palestin dah tak perang2 lagi ke? “. Masih ada yang sanggup berkata ” alah, beli barang-barang diorang sekali – sekala tak pe. Bukannya ‘luak’ pun “.
Sememangnya iman manusia ‘ yazid ‘ (bertambah) atau ‘ yankus’ (berkurang). Namun, cubalah kita meletakkan diri kita pada kondisi saudara kita di Palestin. Ana rasa, semua sudah maklum keadaan mereka di sana. Kemewahan dan kesenangan bukan ‘label’ untuk mereka. Hidup mereka dengan kita ni negara ‘bertuah’ ini, jauh panggang dari api.
Kita mungkin tidak mampu untuk sama-sama mengangkat senjata bersama-sama mereka, namun tiadakah langsung pertolongan yang dapat kita berikan?
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
Di sini: bumiku lengai
Sedari tadi lagi tercongok di depan peti televisyen itu. Sementara menantikan rancangan program realiti TV, mencari Idol ditayangkan, dia membelek akhbar harian. Wajah si cilik yang barangkali belum mencapai usia lima tahun terpampang menjadi tajuk utama akhbar. Gadis itu, dengan baju yang koyak-rabak dan penuh darah barangkali sudah nyawa-nyawa ikan atau rohnya sudah lama menuju ke langit.
Sebelum sempat membaca lanjutan berita itu, telinganya menangkap suara nyanyian. Program mempromosikan hedonism telah bermula. Lantas akhbar itu dibiarkan tergeletak di bawah meja sebelum memperkemaskan kedudukannya di sofa. Tangannya pantas mencapai kad Top Up bernilai RM60. Digores dan nombor-nombor yang tertera ditekan pada keypad telefon bimbit sebelum butang hijau ditekan.
Jiwanya meluat-luat, teruja dengan nyanyian Fitri, anak muda yang baginya mempunyai aura yang tersendiri. Dan, tidak sedikit pun terdetik kekesalan di hatinya andai malam itu atau setiap malam yang lainnya , beratus – ratus ringgit duitnya melayang demi memastikan kemenangan kepada anak muda itu.
Di sana: senyumnya tersekat
Dia seorang kanak-kanak. Minggu lepas, dia baru menyambut ulang tahun yang ketujuh. Ketika kanak-kanak sebayanya di bumi bertuah Malaysia enak-enak saja bermain game di computer atau pada waktu petang riang di taman permainan, dia tidak mempuyai peluang itu.
Abangnya yang mahu ke sekolah demi mematuhi sabda Nabi, “Tuntutlah ilmu dari buaian sampai ke liang lahad” terpaksa belajar di lorong-lorong dengan raifal milik si rejim, siap diacu-acukan seolah-olah mereka sedang merancang untuk mengebom Pentagon. Dia terjajah dalam negara sendiri. Kehendak disekat dan keinginan terpendam menjadi beban yang tak terluahkan. Dia bukan seorang dewasa, tetapi membesar menjadi yang sangat matang.

Pada saat kanak-kanak di sebuah negara bernama Malysia melastik burung, dia juga belajar melastik. Tapi yang dilastiknya bukan burung. Dia melempar batu kepada askar-askar Israel yang hati mereka lebih kejam daripada binatang. Dia tidak bimbang tentang mesingan atau peluru yang bakal menghabiskan nyawanya jika dia tersilap langkah kerana dia bangga ada batu-batu yang sebesar ibu jari menghantar terus penjenayah ke neraka. Dia bertambah bangga apabila melihat askar-askar yang lengkap bersenjata itu kelam-kabut melarikan diri. Barangkali batu itu pernah memusnahkan tentera Abrahah, detiknya.
Dia tersenyum sedikit. Namun senyum itu segera pudar apbila teringatkan jirannya yang menjadi mangsa pencerobohan rejim di Zionis di semenanjung Gaza tiga hari lepas. Buldozer yang tanpa belas kasihan itu telah memusnahkan rumahnya dan menghenyak apa sahaja yang berbaki dengan alas an abangnya seorang pengganas. Pada saat air jernih mula memenuhi kolam matanya, hatinya pantas berbisik, anak jantan tidak selemah ini. Dia lantas bangkit dan semangatnya kembali pulih.
Di sini : Gelak tawa menemani
Menatap jam di dinding, rancangan mencari Idol hampir tamat. Sekejap benar rasanya.Belum puas dia manyaksikan Fitri beraksi di pentas. Namun hatinya tetap puas apabila undi tertinggi diraih oleh Fitri. Tidak sia-sia jarinya lenguh menekan keypad, fikirna senyuman yang tambah melebar.
Tatkala Anita peserta dari ibu kota membuat persembahan, dia membaca akhbar yang belum sempurna dibanya tadi. Setelah berita hiburan habis dibaca, dia berlaih ke berita dunia.Berita yang sama, bisik hatinya. Israel yang tidak henti-henti membuat onar dan Amerika yang tidak henti-henti menyokong, sedang rakyat Palestin terus menerus diburu ketakutan dan keresahan yang belum menemui noktanya. Ah, pelan damai tidak pernah menjadi. Entah salah siapa, detiknya.
Matanya menangkap satu berita penting. Hamas yang memenangi pilihan raya Palestin tidak mendapat sokongan Amerika. Bahkan bantuan kepada Palestin disekat ekoran ancaman dan desakan Amerika. Semua negara tunduk kepada negara tersebut yang mendakwa dirinya “Polis Dunia” itu. Hidup rakyat Palestin bertambah tertekan dan para pekerja tidak mendapat gaji yang sepatutnya. Ya, remote contol dunia di tangan Amerika, fikirnya membuat kesimpulan.
Mujurlah, negara ini aman, syukurnya. Dia berpaling ke bilik anak sulungnya, Asyraf yang barangkali sedang menonton filem terbaru lakonan Keanu Reaves dan Sandra Bullock berjudul ‘The lake house’. Rumah ini mewah penuh dengan kesenangan. Seingatnya, jarang sekali anak-anaknya membentak kerana keinginan yang tidak tertunai.
Di sana: Jadual yang tidak tetap
Semalam, tidurnya tidak nyenyak. Beberapa kali dia terjaga. Badan terasa bergegar. Barang kali itu kesan bom-bom yang digugurkan oleh rejim zionis.
Pernah dia bertanya kepada ibu, kenapa hidupnya harus begini. Ibunya tenang menjawab, “Insya Allah, kita adalah golongan yang disebut oleh junjungan Rasul ( dia berselawat setelah nama Rasul disebut) sebagai satu golongan umat Islam yang berada di sekitar Baitul Maqdis yang berjihad untuk menentang musuh Allah.” Ibu menambah lagi bahawa nabi mengatakan bahawa kelompok ini akan tetap dan kekal di atas perjuangan ini hingga kiamat menjelma.
“Dan kita adalah golongan yang beruntung itu, anakku.” Suara ibu tambah bersemangat dan tangan kanannya mengusap lembut kepala si anak.
“Sebenarnya perjuangan ini bukan sahaja perjuangan mempertahankan
Wilayah yang diceroboh, tetapi juga perjuangn mempertahankan kiblat pertama umat Islam. Juga perjuangan mempertahankan Masjid Al-Aqsa, masjid ketiga suci dalam Islam seta mempertahankan bumi Mi’raj, permulaan perjalanan ke langit menerima perintah solat. Justeru, perjuangan ini bukan perjuangan penduduk Palestin sahaja, bahkan penduduk Islam serata dunia bertanggungjawab terhadapnya . Kita hanyalah barisan hadapan anakku. Tapi di mana umat Islam yang lain? Sampai di situ, ujaran ibu sedikit kesal.
Dia tahu, ibu sedang membendung sebak yang sarat di dada mengenangkan perjuangan yang entah bila berakhir. Juga mengenangkan telatah umat Islam yang ramai, tetapi bagai buih – buih di lautan, tidak sedikit pun memberi kekuatan.
Dan biasanya perbualan itu akan berakhir begitu. Dia memandang sejenak pada paras ibu. Senyuman penuh sendu wujud di situ. Mendengar jawapan itu membuatkannya terlupa jerih-jerih kehidupan harian.Suara ibu lembut jika memujuk, tetapi tegas apabila mendorong. Dia membesar penuh ketenangan, meskipun kurang kesenangan. Ya, tenang itu pada hati bukan pada material, bisiknya penuh yakin.
Di sini: Zon selesa
Mentari sudah naik tinggi segalah. Cahayanya bersinar garang. Namun, cahayanya belum cukup kuat untuk membangunkannya dari medan mimpi yang indah. Subuh yang terlepas juga tidak dihiraukan. Tilam vono itu cukup empuk buatnya. Anak-anaknya juga tidak dilatih untuk bangun solat Subuh. Pelukan pada bantal dieratkan lagi.
Di sana: mimpi ngeri dalam jaga
Kokokan ayam yang sayup-sayuo kedengaran menghentikan mimpinya. Mimpinya tidak pernah indah. Dalam jaga yang mamai, terdenga ayat-ayat suci al-quran dialunkan. Suara ibu bercampur dengan zikir ayah. Ibu dan ayahnya adalah role model yang sangat penting dalam meladeni ujian demi ujian dan derita yang cukup untuk membuatkannya menutup mata daripada menikmati indah kehidupan dan mensyukuri nikmat yang masih ada.
Perlahan-lahan dia bangkit dari perbaringan. Dia tidak ingin menyambung mimpi yang terbengkalai tadi. Sesudah mengambil wuduk, dia bersimpuh di sisi ibu. Ibu mengunjukkan surah Yaasin kepadanya. Surah itu sebenarnya hampir terhafal di mulutnya. Saban waktu sebelum Subuh, ibu tanpa jemu mengajarnya surah yang menjadi hati Al-quran itu.
Moga-moga Allah akan menghulurkan ketenangan hati buat kita semua, begitu doa ibu seusai surah itu dibacakan. Tika azan Subuh dilaungkan, dia akan bersiap sedia berjemaah bersama ayah. Rumah jirannya yang agak lapang dijadikan pusat untuk berjemaah.
Apabila dia menyoal ayah apakah beza solat berjemaah berbanding solat sendirian, ayah dengan senang hati menerangkan, “Pahala berjemaah 27 kali ganda lebih berbanding solat sendirian. Tambahan pula musuh-musuh Islam tidak risau sekiranya umat Islam berpegang teguh kepada rukun Islam kedua itu, namun mereka akan gentar sekiranya umat Islam solat dalam saf yang tersusun kerana ini melambangkan keteguhan kesatuan ummah. Kesatuan akan menghasilkan kekuatan.”
Kemudian ayah megulang kata saidina Ali, ” Kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun “. Kata-kata itu membuatkan dirinya menyemai satu tekad. Apabila besar nanti, aku akan satukan negara-negara Arab dan buka belengu kokongan oleh uncle Sam. Dia menyemat kata-kata itu dengan pin keazaman di ipatan hatinya.
Di sana: Tiada lagi waktu bersisa
Kebelakangan ini hujan peluru makin menjadi. “Kenapa begini?” Soalnya kepda ibu.
“Hamas hanya menangkap seorang askar untuk dijadikan pertukaran bagi hanya seratus daripada ratusan ribu rakyat Palestin yang ditahan tanpa bicara di dalam penjara Israel. Hanya itu penyelesaian. Tanpa melibat pertumpahan darah. Tapi, Israel memang sukakan warna merah, apatah lagi darah segar yang mengalir. Lantas perjuangan terhadap Palestin diperhebatkan sambil menulikan terhadap kecaman antarabangsa. Dan dunia ini sungguh buta…” suara ibu lirih kedengaran, juga sedikit sebak dan penuh emosiapabila menuturkan bicara seterusnya.
“Dunia Arab juga. Mereka menyalahkan Palestin dan mendesak Hamas membebaskan tawanan itu demi menghentikan kekejaman zionis. Neraca keadilan dunia menimbang apa? Rakyat Palestin dari si kecil berusia tidak sampai dua tahun sehingga kepada yang sudah berumur dan tidak berdaya terpaksa menghabiskan sisa-sisa hidup di dalam penjara. Si kecil itu salah apa?” Jeda seketika.
“ Yahudi yang jumlahnya teramatlah sedikit telah menggengam seluruh dunia dengan kuasanya. Yahudi telah menguasai Kristian di Amerika Syarikat, dan Kristian menindas Islam di seluruh pelosok dunia. Puncanya, umat Islam gagal bersatu. Buktinya cukup jelas. Baginya, Al-Quds adalah tanggungjawab penduduk Palestin, bukan muslim seluruhnya. Demikian, mereka hanya memandang sebelah mata kesusahan kita, tidak sedikit pun bantuan yang dicurahkan, hatta doa pun tidak pernah dititipkan buat kita.”
“Tiada siapa peduli. Gadis-gadis Palestin yang disumbat ke dalam penjara mengalami tekanan emosi yang bukan sedikit. Pemuda-pemuda diseksa. Tragedi pembunuhan beramai-ramai di kem Shatilla pada tahun 1982 tidak pernah diungkit. Tiada sebarang gelaran pengganas dicop kepada Israel. Kisah itu berkubur tanpa nesan. Kematian mereka tanpa pembelaan. Namun, tertawannya seorang askar oleh Palestian sudah cukup untuk dunia menuding jari menyalahkan Palestin. Penilaian ini berdasarkan skala apa? Di manakah umat Islam di saat Palestin memerlukan pembelaan? Bukankah Nabi pernah bersabda yang mafhumnya, ” Muslim itu umpama sebuah bangunan, menegakkan antara satu sama lain. Muslim itu juga umpama sebatang tubuh. Tika salah satu anggota badan terasa sakit, anggota yang lain turut merasainya “.
” Di mana muslim yang tertebar di serata dunia? Di mana? “. Suara itu makin berbaur Emosi. Saat ini air mata menjadi sangat murah nilainya, jua menjadi teman yang paling akrab. Tapi ibu lebih cepat kembali kepada normal. Lembut tangan ibu menyeka mutiara jernih di pipinya dan menghulurkan satu senyuman hambar buatnya..
Di sini : Lena yang tak teruji
Dia menatap sekilas pada anak daranya yang mula meningkat remaja. Barangkali anak itu pulang setelah puas mengukur setiap sudut dan ruang di dalam sebuah kompleks membeli belah bersama teman-temannya. Apabila ditanya, satu-satunya cahaya mata perempuannya itu petah membalas, “hilangkan penat belajar.” Dia sebagai seorang ibu memberi kebebasan kepada anak itu sepenuhnya.
Di sana: Perjuanganku
Suatu pagi yang hening, usai solat Subuh. Kedamaian itu bakal tercabut, dan ketenangan itu bakal tergugat. Tiba-tiba sahaja rumahnya dikunjungi oleh insan yang tak diundang. Tetamu keparat itu bertanyakan tentang ayah. Katanya ayah akan didakwa kerana merancang pengeboman terhadap kem tentera.
Wajah ibu menjadi pucat, tubuhnya hampir rebah. Kakinya hanya kaku ketika kaki-kaki angkuh menceroboh masuk. Satu tamparan sebagai habuan saat ibu cuba menghalang. Ayah yang larut dalam zikir sesudah solat Dhuha terus diseret tanpa bicara. Sepakan dan tumbukan bertubi-tubi singgah pada badan ayah.
Dia yang berselindung di belakang ibu tiba-tiba jadi berani. Namun, tenaganya terbatas. Hayunan kerusi pada badan halusnya membuatkan ibu terjerit. Hanya linangan air mata menghantar pemergian ayah yang mungkin hari ini kali terakhir tampang ayah boleh ditatap.
Tahun-tahun berlalu. Tiada sebarang berita tentang ayah yang diperoleh dalam jangka masa itu. Barang kali ayah sedang meringkuk di sebalik jeriji besi menjalani hukuman tanpa bicara atau mungkin ayah sudah kehilangan tenaga lantaran terkurung dan diseksa. Memikirkan semua itu membuatkan air mata semakin laju mengalir. Dia sudah tidak upaya menakung air mata ibu yang saban ketika mencurah. Lantas semua itu menatijahkan satu keputusan yang tekad.
Esoknya, ibu itu hilang satu lagi harta. Terpampang pada berita, kematian lima askar Israel ketika sebuah pusat hiburan meletup. Dia sudah pergi, mengheret bersamanya duka dan pedih, tetapi meninggalkan kebanggaan yang sungguh harum , tidak berubah walau ditelan zaman. Ya, dia syahid demi mempertahankan sebuah agama.
Seorang ibu itu, walaupun kehilangan demi kehilangan ditempuhinya, namun hatinya sungguh tabah. Rasa terkilan tetap berbaki di hati. Umat Islam seluruh dunia, di manakah anda saat saudara anda di sini ditekan, dihimpit dan dipermainkan nyawanya? Di manakah anda? Soalan itu kekal menjadi pertanyaan yang entah bila akan terjawab. Barang kali mereka akan mengerti kesengsaraan ini apabila negara mereka ialah Palestin, apabila bumi mereka dirampas dan apabila diri mereka diseksa. Saat itu, pengertian tiada lagi bermakna, nasi sudah menjadi bubur.
Di sini: Akhirnya begitu
Gegaran kecil mengganggu lenanya. Mimpi indah menghalang matanya dari jaga. Runtuhan apartment kediamannya meragut nyawanya dalam aman. Dia pergi tanpa sebarang jaga, juga tanpa sebarang sumbangan kepada negara.
Meninggalkan di belakangnya anak-anak generasi baru yang masih leka diulit kemewahan dan asyik dibuai keseronokan hingga ajal datang menjemput.
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
Ya Allah, kekalkanlah tautan hati kami bersama PALESTIN
sumber: http://pendakwahmuda.blogspot.com